Thursday 12 June 2014

MAHASISWA ERA DODOL/ DONUT BAHAGIAN III

Bahagian 3 ini, penulis cuba membawa pembaca bersama membayangkan suasana sebagai seorang mahasiswa yang menuntut di mana-mana UNSW, University Of Monash, Kyungpook National University. Cuba anda bayangkan anda kini berada di mana-mana Universiti yang telah saya kemukakan di atas. Di sana anda tidak terikat dengan undang-undang yang bersifat mempertahankan Universiti dan Kerajaan. Dari aspek pemerhatian, lawatan dan maklumat yang diperoleh dari pegawai Universiti disana, tiada undang-undang yang dikata mempertahankan Universiti dan Kerajaan. Apa yang menarik disana, kebebasan diberikan kepada mahasiswa, Hal Ehwal Pelajar turut ada disana, tapi bukanlah bertujuan untuk mempertahankan pihak Universiti dan Kerajaan walaupun pihak ini bertindak tidak sepatutnya. Kesan daripada tiada pengenalan undang-undang sebegitu rupa, mahasiswa disana membangun secara matang dan sihat, tidak seperti di Malaysia, membangun bersama donut dan dodol. Misalnya di University Of Monash, mahasiswanya diberikan kebebasan untuk bersuara, malah pihak Universiti memberikan ruang khas/bilik untuk mana-mana pihak atau persatuan mahasiswa untuk kemukakan idea atau perasaan tidak puas hati mereka terhadap Universiti dan Kerajaan. Sebuah bilik diperuntukkan kepada mereka. Bilik tersebut diberi nama "Bilik Aktivis". Sebarang bentuk aktiviti yang ingin dijalankan oleh aktivis mahasiswa disana, bilik tersebut menjadi lokasi utama buat mereka. Pelbagai "poster" yang menunjukkan luahan dan ditampal dalam bilik tersebut. Antara luahan mahasiswa disana ialah "Free Food For Student" dan lain-lain. Secara tidak langsung, mahasiswa disana boleh menilai mana perkara yang dibawa oleh aktivis betul ataupun hanya mahu mencari populariti. Jika ada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dan ingin mencetuskan huru-hara, mahasiswa lain mampu menilai secara logik akal. Ruang untuk bersuara sudah diberikan dan didengari, jika masih berlaku huru-hara, mungkin terdapat masalah pada pelajar tersebut. 


Kita beralih pula di University News Of Wales (UNSW). Jika di Universiti ini saya sempat bersemuka dengan wakil pelajar disana. Mereka diberikan kebebasan berpersatuan, bebas untuk memiliki wang persatuan yang diperuntukkan.Secara realitinya mereka disana boleh dikatakan hak mereka terjamin. Dalam Pilihanraya Kampus mereka juga, pengaruh parti politik luar dibenarkan untuk membawa pengaruh mereka dan secara langsung meletakkan calon pelajar bagi mewakili parti tersebut dalam kampus. Jika di Malaysia? Anda sendiri mampu menilainya. Tetapi apa yang menarik disini ialah pelajar yang mewakili parti politik tersebut setiap tahun akan kalah, malah mendapat undian paling rendah, paling kelakar, wakil pelajar yang mewakili parti politik dalam kampus adalah dari kalangan pelajar yang “skema”, segalanya kekurangan ada pada dirinya, tetapi pelajar yang sangat berpengaruh dan hebat tidak akan mewakili parti politik dalam kampus sewaktu bertanding dalam PRK, bertanding atas tiket mahasiswa sendiri. Secara langsung kita dapat melihat bahawa mahasiswa disana tidak memandang kehadiran parti politik dalam kampus. Mahasiswa tidak mudah terpengaruh dengan parti politik, dan hampir 90% mahasiswa disana tidak mempedulikan parti politik dalam kampus. Program-program anjuran parti politik dalam kampus tidak pernah dapat sambutan yang hangat dari kalangan mahasiswa. Malah program yang dianjurkan oleh mahasiswa sendiri menjadi pilihan ramai.



Ini kesannya jika tiada Undang-Undang yang menjaga Universiti dan Kerajaan walaupun tindakan mereka salah. Mahasiswa lebih bijak dan matang. Mereka boleh menilai yang mana baik dan buruk buat mereka. Pihak Kerajaan dan Universiti tidak perlu risau, jika tindakan mereka tepat dan betul , pihak mahasiswa akan sentiasa bersama anda, bukan 100 %, tetapi sekurang-kurangnya majoriti mahasiswa akan memilih anda, oleh kerana masih terdapat mahasiswa yang pro pada parti politik tidak kira pembangkang atau kerajaan. Namun sayang, pihak Kerajaan dan Universiti tidak bertindak sedemikian, malah lebih teruk dalam melayan mahasiswa. Kesannya, anda mampu menjangkakan. Mungkin mahasiswa sekarang ramai dari kalangan mereka yang hanya menerima sahaja keputusan yang tidak adil pada mahasiswa tetapi dalam masa sama mereka tidak bersetuju. Tetapi selepas zaman kampus, mereka akan menentang pihak yang bertindak zalim pada mereka dahulu. Sebagai contoh, MP Bukit Mertajam, dahulunya merupakan MPPUM (Aspirasi), kini berada disebelah pihak pembangkang, bukan beliau seorang sahaja, namun ramai lagi.


Mungkin tindakan Tun Mahathir nampak licik dalam masa terdekat sahaja, mungkin beliau lupa pada perjalanan UMNO/BN yang masih panjang dan kini boleh dianggap “Telur di Hujung Tanduk”. Saya bukannya bersikap bias, namun AUKU dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Pusat iaitu UMNO/BN. Mungkin ramai yang tertanya jika AUKU dimansuhkan, apa yang patut digantikan? Jawapannya sudah dikemukan oleh mahasiswa sendiri. Jika kita lihat sejarah gerakan mahasiswa, mereka sudah membentangkan solusi ini, contohnya pada tahun 2008, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengemukakan “MAGNA CARTA” untuk menggantikan AUKU. Selepas itu pada tahun 2013 SMM sekali lagi membentangkan idea baru mereka iaitu Akta Pengajian Tinggi Malaysia, draft ini dibuat dengan menggabungkan Deklarasi Darus Salam mengenai kebebasan akademik dan tanggungjawab ahli akademik dengan Magna Carta.

Di peringkat mahasiswa, bukanlah meminta sebebas-bebasnya dalam dunia kampus, tetapi cukup sekadar memastikan hak mahasiswa itu sendiri diperolehi, bukannya menyekat. Cerita dan suasana di luar negara ada yang kita mampu serapkan dan ada yang tidak boleh. Kita seharusnya tapis dahulu atas beberapa faktor, antaranya ialah tidak sesuai dengan nilai dan moral di Malaysia. 

Insyallah menerusi penulisan seterusnya, saya mungkin senaraikan beberapa kes mahasiswa yang dikenakan tindakan AUKU supaya anda boleh menilainya sendiri.