Saya terpanggil untuk menulis
sepucuk surat buat MAMA, setelah membaca khabar berkenaan ucapan MAMA di Majlis
Anugerah Nadi Negara 2013 Wanita Umno di ibu negara semalam menyentuh berkenaan
mahasiswa. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih buat MAMA, atas
keperihatinan MAMA berkenaan anak-anak MAMA sendiri iaitu mahasiswa sendiri.
Memetik ucapan semalam, beberapa perkara yang MAMA telah menegur dan kemukan
pandangan MAMA kepada anak-anak MAMA antaranya menasihatkan golongan mahasiswa
supaya memproses maklumat yang diperoleh di alam maya dengan bijak dan tidak
hanya mempercayainya tanpa membuat semakan dan kajian, dalam pelajaran
di universiti, mahasiswa dididik untuk berfikir secara kritis dan rasional
selain tidak hanya menggunakan pemikiran logik tetapi membuat semakan untuk
memastikan kesahihan sesuatu maklumat. Selain dari itu, MAMA ada juga mengemukakan
harapan MAMA kepada mahasiswa "iaitu berharap agar kaedah tersebut tidak
hanya digunakan di peringkat universiti sahaja tetapi diaplikasikan dalam
proses pencarian ilmu di Internet mahupun ketika membaca bahan-bahan di
media sosial serta laman web. "Jika bertindak melulu dan membantu
menabur fitnah merata-rata, harus ingat perbuatan tersebut akan membinasakan
masa depan anda sendiri dan memperjudikan negara kita kelak,"
Tambah MAMA lagi, masyarakat tidak boleh
menyalahkan segelintir kecil mahasiswa yang bertindak mengikut perasaan dan
secara terburu-buru tanpa memahami keadaan sebenar. Ini mungkin kerana
mereka (mahasiswa) tidak mendapat gambaran sebenar mengenai usaha dan peranan
kerajaan dalam membangunkan negara,". Dalam ucapan tersebut, juga MAMA
menyentuh berkenaan GST dimana MAMA turut menasihatkan mahasiswa supaya tidak
mudah terpengaruh dengan dakwaan pembangkang mengenai cukai barang
dan perkhidmatan (GST)."Saya dengar golongan pelajar kini tidak
membaca surat khabar (arus perdana) kerana mendakwa surat khabar berat sebelah.
Bacalah, Kita kena tahu benda yang betul (melalui media arus perdana),".
Disini saya mengambil peluang
untuk respon berkenaan ucapan MAMA, memandangkan masih belum ada mahasiswa
respon berkenaan ucapan MAMA. Disini beberapa perkara yang saya mahu kemukan,
MAMA perlu
menjadi Wanita/MAMA untuk semua mahasiswa, semua masyarakat Malaysia tidak kira
agama dan bangsa di Malaysia.
Saya sedikit terkilan,
mama hanya berperanan sebagai wanita UMNO/BN sahaja, sepatutnya MAMA perlu
berusaha untuk menjadi Wanita Malaysia yang melambangkan wanita pertama
Malaysia di mata dunia, sentiasa bersikap adil kepada semua rakyat serta
mahasiswa. Perkara ini termasuklah menjaga identiti sebagai wanita islam
pertama Malaysia, menutup aurat, menjadi idola semua wanita islam di mata dunia.
Tidak perlu menjadi seorang Ustazah, tetapi cukup sekadar menjaga baik nama
Islam dimata masyarakat lain. Saya mengambil contoh mudah, iaitu berkenaan
majlis semalam, majlis ini hanya meraikan wanita UMNO/BN serta mahasiswa yang
pro kepada kerajaan sahaja. Untuk pengetauhan MAMA, saya adalah Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya, merangkap Presiden Majlis
Perwakilan Mahasiswa Nasional(MPMN), persoalannya kenapa saya tidak dijemput ke
majlis semalam? Sedangkan MAMA pun mengetauhi bahawa Universiti Malaya
merupakan Universiti terbaik di Malaysia, sedangkan rakan YDP kampus lain
seperti kampus USM, UPMN serta UITM dijemput, jika dilihat kampus-kampus seperi
USM, UITM dan UPMN jauh ketinggalan di belakangan UM. Bukan mempersoalkan
berkenaan status rangking, tetapi jelas disitu sesetengah kami ini dipinggirkan.
Tidak dinafikan, MAMA banyak berusaha melakukan yang terbaik dalam menjadi
wanita pertama Malaysia dengan melakukan pelbagai aktiviti, antaranya ialah
Program Permata. Usaha itu saya sangat hargai, buanglah sentimen parti, terus
berusaha membawa negara ke arah yang lebih baik, kurangkan sumbangan kepada
kroni, tetapi lebih kepada rakyat Malaysia. Mahasiswa semakin bijak menilai.
Mahasiswa
sentiasa bijak menilai
Buat
pengetauhan MAMA sendiri, mahasiswa di Malaysia semakin bijak menilai dalam
sesuatu isu dan maklumat yang disalurkan. Apatah lagi mahasiswa di luar negara.
Tidak dinafikan masih ada mahasiswa yang hanya menilai menerusi satu sumber
sahaja, tetapi hakikatnya jumlah ini hanya kecil berbanding mahasiswa yang
menilai maklumat dengan sebaik mungkin. MAMA tidak boleh menyalahkan media masa
yang sedia ada seperti “Malaysiakini”, “Malaysia Insider”, “Free Malaysian
Today”, “Rakyat Post’ dan sebagainya. Media ini berperanan untuk mencari “rating”
mereka dalam menyiarkan berita, oleh itu berita ini sentiasa mencari tajuk yang
kontroversi dan hangat. Berbeza pula media masa pihak pembangkang iaitu “Harakah
Daily”, “Selangorku”, “Keadilan Daily”, media ini adalah lidah rasmi pihak
pembangkang. Tetapi media kerajaan perlu menjadi media kepada masyarakat
Malaysia bukanya menjadi lidah rasmi sesetengah Parti, umpamanya TV3,TV2,TV1,
Utusan Melayu, Berita Harian dan lain-lain. Barulah mahasiswa sentiasa bersama
media arus perdana, jika peranan media kerajaan menjadi lidah rasmi sesetengah
parti politik sehinggakan boleh digelar TV3 suku, Utusan Meloya serta Berita
Hairan, bagaimana kami nak bersama media arus perdana, buka saja TV3 hanya
berita berkenaan UMNO/BN serta mencari kesalahan dan aib negeri Selangor,
Kelantan dan Pulau Pinang, seolah-olah Malaysia hanya mempunyai 3 negeri ini
sahaja. Jika sebaiknya parti UMNO/BN ini mempunyai lidah rasmi sendiri mereka
sendiri, dan bebaskanlah TV3 suku, Utusan Meloya dan Berita Hairan ini. Kesian saya
melihatnya yang sentiasa menjadi mangsa sesetengah pihak. Untuk pengetauhan
MAMA, saya sendiri membelek media-media yang ada setiap hari dari Utusan
Meloya, Berita Hairan, Harian Metro, Malaysiakini, Bernama,Keadilan Daily dan
banyak lagi untuk membandingkan sesuatu maklumat yang disampaikan. Jika dahulu
sering ditipu dengan propaganda berita TV3 suku, Utusan Meloya dan Berita
Hairan. Kini sumber internet semakin meluas malah kini anak muda mesra dengan
internet, sukar untuk kami tertipu lagi, “Mr Google” sentiasa bersama dalam
merungkai masalah penipuan ini. Saya sendiri memuji usaha MAMA yang
mempergiatkan program PERMATA, yang sering disiarkan dalam media kerjaan. Bagi
saya secara peribadi, program PERMATA ini sangat memberi kesan yang positif
kepada anak-anak kecil dan saya menyokong 100 % program ini demi kebaikan
bersama. Lihat? Jika perkara itu baik, kami mahasiswa akan menyokong.
GST dan Pembangkang
Tidak
dinafikan GST mempunyai Pro dan Kontranya. Secara peribadinya, saya sudah hadir
seminar dan perbincangan meja bulat yang diadakan oleh kerajaan sendiri. Malah
ada juga saya membuat penelitian fakta dan hujah yang diberikan oleh
pembangkang berkenaan GST ini. Selain itu, beberapa buku saya telah baca
berkenaan GST ini, antaranya buku karya Dr Choong Kwai Fatt yang merupakan
pakar cukai yang unggul dan terkenal di Malaysia. Beliau juga dikenali dalam
penyelidikan dan pengarangan buku. Buku-buku percukaian dan jurnal-jurnal yang
dikarang oleh beliau luas digunakan oleh kebanyakkan universiti, badan
profesional dan akauntan. Secara peribadinya impak GST ini banyak memberi kesan
positif berbanding negatif. Tetapi apa yang membuat saya kuatir ialah, hasil
pungutan GST itu akan dibawa kemana? Ke kroni? atau rakyat? Saya sudah serik
mengenai kisah “KONDOMINIUM”, kisah “Mantan Menteri Besar Selangor” dan
sebagainya. Disebabkan itu, saya bantah GST ini, bukannya melulu membantah
mengikut pembangkang. Mahasiswa ini bukan macai pembangkang. Mereka mempunyai
ideanya sendiri dan sering lain dari yang lain bagi memastikan negara ini aman
dari kepentingan mana-mana pihak.
Kesimpulannya, secara
peribadinya, tujuan saya untuk menyatakan pendapat ini kepada MAMA bukanlah
untuk menjatuhkan imej MAMA, ataupun ada unsur-unsur negatif. Tetapi pendapat
ini merupakan teguran kasih sayang sebagai rakyat Malaysia dan mahasiswa kepada
Datin Rosmah Mansor yang dianggap MAMA. Ketepikan kepentingan peribadi atau
sesetengah pihak saja, perbaiki kelemahan yang ada demi kesejahteraan negara
Malaysia yang tercinta setimpal dengan situasi negara kita sekarang. Saya yakin
Malaysia mampu jauh kehadapan jika mempunyai pemimpin yang berwibawa, telus,
dan bersih.
Boleh lihat penulisan saya di Malaysia Insider
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/surat-terbuka-kepada-datin-seri-rosmah-mansor-fahmi-zainol
Fahmi Zainol