Sunday 8 June 2014

MAHASISWA ERA DONUT/DODOL BAHAGIAN II


Kesan AUKU kita dapat lihat mahasiswa semakin mendodol dan mendonut. Perlu diingatkan bahawa AUKU ini bukan hanya memperuntukkan peraturan kepada mahasiswa sahaja namun memfokuskan kepada pentadbiran Universiti juga. Persoalannya, wajarkah AUKU terus dimansuhkan, sedangkan AUKU ini merangkumi perihal mahasiswa dan pentadbiran juga. Lantas persoalan ini sering bermain dibenak fikiran mahasiswa khususnya mahasiswa yang baru atau mahasiswa yang tidak tahu apa itu AUKU. Dan seingat saya , sewaktu saya tahun 1 lagi, ramai pihak mempersoalkan, kenapa mahasiswa ini kurang cerdik? Tahukah mereka AUKU ini juga merangkumi peraturan terhadap pihak Pentadbiran. Jika dimansuhkan semua, bagaimana peraturan terhadap pentadbiran, kenapa mahasiswa tidak mahu mansuhkan bab dan akta yang berkaitan sahaja, “bodoh betul’ mahasiswa, ujar sesetengah pihak terhadap mahasiswa yang mahukan AUKU dimansuhkan atau digantikan dengan Akta yang lebih adil.

Ada betul juga pihak tersebut menyuarakan pendapat sebegitu, tetapi perlu diingatkan bahawa, AUKU ini masih relevan kah? Atau tidak pernah relevan sesekali pun. Ayuh sekali lagi kita lihat beberapa perkara yang dikira agak tidak logik. Dalam AUKU terdapat pekara yang memperuntukkan bahawa Naib Canselor perlu dilantik oleh Menteri. Hal ini bermakna dalam Universiti terdapat campur tangan dari pihak yang berkepentingan. Bukan menyisihkan atau menidakkan kuasa pihak Menteri, ada baiknya jika kampus ini biar disuburi dengan nilai akademik yang bebas dari pihak yang berkepentingan. Apa salahnya jika Naib Canselor dipilih dalam kalangan staf akademik dan mahasiswa sendiri setelah kriteria yang sewajarnya ditetapkan, dalam masa sama dapat menerapkan pendidikan politik yang segar dalam kampus. 

Saya juga lebih suka mengambil pendekatan yang dikira agak kelakar dan agak tidak logik seiring dengan tajuk penulisan ini “MAHASISWA ERA DONUT/DODOL” berbanding pendekatan yang sering didengari iaitu “AUKU AKTA ZALIM” dan lain-lain. Biar saya cerita pekara yang pelik-pelik agar pembaca diluar sana boleh menilai kembali rasionalnya AUKU. Saya suka ambil contoh yang hampir atau dekat dengan saya. Hampir semua orang tahu berkenaan peristiwa 3 mahasiswa UMSKAL digantung baru-baru ini, tetapi saya lebih suka untuk ambil kisah saya sendiri.

Untuk pengetauhan semua, saya pernah menerima surat tunjuk sebab daripada pihak Universiti dalam sebulan yang lepas untuk memberikan sebab kenapa saya bertindak sedemikian, dan jika saya tidak menulis surat tersebut saya akan dikenakan tindakan tatatertib. Tindakan yang dimaksudkan tadi ialah “status” saya di facebook yang dikatakan memburukkan nama sesetengah pihak Universiti. Apa pendapat kalian? Anda cuba bayangkankan, dalam keenakan anda menaip status di facebook, tiba-tiba surat tunjuk sebab sampai pada DEKAN anda dan sampai pada anda,cuba fikir sejenak apa yang pihak lain fikirkan? Sampai pihak yang mengetahui kes saya ini tertawa kecil. Oh ya, jika dikatakan kes saya ini agak biasa, dalam siri seterusnya saya akan ceritakan kes print screen status facebook rakan saya yang berbangsa cina, mungkin cerita rakan saya lebih kelakar. Sebenarnya persoalannya bukan siapa memburukkan sesiapa, cuma tindakan Universiti yang rajin “Print Screen” status saya di facebook adalah satu tindakan yang kelakar dan pelik. Rajin juga pihak Universiti ini menjalankan tugas agar AUKU itu berjalan. Bagi saya laman sosial adalah “LAMAN SOSIAL”, bukannya kawasan kampus, bukannya kawasan Universiti yang perlu anda didik seperti anak tadika. Jika saya ada lakukan kesalahan di laman sosial, dipersilakan saman saya di mahkamah. Bukannya tidak ada kes berkenaan saman menyaman berkenaan media sosial ini, salah satu contohnya kes PAPA GOMO. Kenapa AUKU tidak digunakan untuk “Print Screen” status mahasiswa yang jiwang karat berpegang tangan, berdua-duan, berkelakuan tak senonoh, “selfie dengan pasangan yang belum sah(batas lelaki perempuan)” di laman sosial, itu adalah kesalahan yang nyata. Disebabkan itu saya sudah nyatakan dari awal lagi AUKU mempunyai maksud tersirat. Mungkin status ini juga akan dikenakan tindakan oleh pihak Universiti.

Kes ini bukan satu, malah dari apa maklumat yang saya tahu, kes print screen status facebook ini banyak berlaku terutama di kampus-kampus lembah klang. Bukannya saya menghasut pembaca untuk mengatakan Akta ini tidak relevan atau tidak logik di akal fikiran, tetapi saya pulangkan kepada pembaca kembali untuk menilai penulisan saya ini berdasarkan kes yang saya alami sendiri. Saya tahu ramai pembaca terutama mahasiswa, mereka mempunyai sudut pandang sendiri, sama ada pro pada kerajaan dan pro pada pihak pembangkang, Itu bukan menjadi persoalan utama. Tidak kisahlah siapa kamu, tetapi saya mengajak kalian semua untuk menilai balik AUKU masih relevan atau tidak, gunakanlah kecerdikan kalian untuk menilai semua ini. Banyak lagi kes pelik berkenaan AUKU ini dalam masa terdekat ini sebenarnya. InsyaAllah akan terzahir dalam siri-siri seterusnya.

Jika mahasiswa diluar sana tidak rasa bahawa AUKU ini tidak mengancam mereka, tetapi sekurang-kurangnya kesian pada mahasiswa seperti kami ini yang suka “online” di laman sosial, tulis di “status” saja, terus dikenakan AUKU, bila difikirkan agak tidak logik, tetapi inilah yang terjadi. Saya baru perasan bahawa ada salah seorang YB yang ada respon berkenaan tulisan saya, dia ujar ini adalah agenda pembangkang, untuk mansuhkan AUKU, bagi saya YB-YB sebegini tidak boleh diguna pakai, dalam pemikirannya hanya ada kerajaan dan pembangkang, yang salah pembangkang tetapi mahasiswa didonutkan. Untuk pengetahuan YB, Dato Saifuddin sendiri menyokong tindakan mahasisiswa untuk mansuhkan AUKU dan AKTA 174, beliau bersama kami sewaktu di SUHAKAM. Dato Saifuddin pembangkang kah? 
Tidak usahlah memikirkan sangat soal kerajaan atau pembangkang, bagi saya mana-mana perkara yang baik perlu disokong untuk anak bangsa sendiri. Disebabkan kamu yang bermusuhan dengan pembangkang, mahasiswa didodolkan kamu?Ini tidak adil. InsyaAllah siri yang seterusnya saya akan cuba kongsikan sedikit pengalaman saya di University Of Monash, University News Of Wales, (Australia ) dan Kyungpook National University ( Korea Selatan) , bagaimana mereka hidup dengan baik dan aman tanpa undang-undang seperti AUKU@ AKTA 174.
Jangan biarkan donut dan dodol membelenggu diri anda.


MAHASISWA ERA DONUT/DODOL BAHAGIAN I


Saya ambil pendekatan untuk menulis di laman sosial adalah cara dan kaedah yang sangat bernas buat masa kini dalam era generasi Y. Generasi kini banyak menghadap muka buku berbanding buku. Mahasiswa Era Donut/Dodol diambil sempena kejayaan mahasiswa UIA dan UITM Berjaya cipta nama dalam Book Of Record Malaysia dengan membuat logo universiti masing-masing dengan menggunakan donut dan dodol .Penulisan ini akan berbentuk bersiri agar pencerahan buat mahasiswa yang masih lena diulit mimpi dan kurang sedar apa yang berlaku kini.

Jika kita sebagai mahasiswa, perkataan “AUKU” sudah menjadi pekara wajib untuk kita mengetauhinya.Tidak kurangnya ada yang masih tidak tahu apa itu ‘AUKU’. Dalam penulisan siri 1 ini, saya tidak berminat untuk menjelaskan secara terperinci AUKU. Mungkin pembaca mampu google sendiri apakah itu AUKU, adakah ianya sejenis dodol?donut? atau sebaliknya? Itu terpulang pada anda untuk tafsir AUKU itu sendiri.

Saya cuba mengajak pembaca budiman, untuk menilai kembali sama ada AUKU ini masih relevan atau tidak pernah relevan. Secara literalnya AUKU ini dicipta untuk memastikan tingkah laku mahasiswa dan pentadbiran Universiti teratur dan dilihat kemas dan tidak ada cacat celanya. Namun jika berkali-kali anda meneliti AUKU ini, ianya ternyata dicipta untuk menyekat suara dan pergerakan mahasiswa. 
Mungkin ada betulnya, mahasiswa perlu ada garis batasnya untuk aktiviti dan perlakuan mereka sendiri., namun tujuan AUKU bukan untuk menjaga tingkah laku mahasiswa, tetapi menyekat. Ayuh kita mengenali beberapa pekara yang pelik dalam AUKU ini. Salah satu yang pelik dalam AUKU ini ialah, mahasiswa perlu mendapatkan kebenaran pihak Universiti untuk menggunakan ‘PEMBESAR SUARA’ di dalam kampus dan jika ingin memilikinya. Seperti undang-undang zombie juga bunyinya, Pembesar Suara ini pistolkah?pisau? atau bom sehinggakan mahasiswa tidak boleh memilikinya dalam kampus? Kenapa tidak ada pula peraturan yang menghalang mahasiswa islam memiliki pasangan jika belum bernikah? Mahasiswa perlu bernikah dahulu baru boleh berpasangan dalam kampus? Jika sebegitu, adakah ianya lebih manis dan molek.

AUKU dicipta untuk menyekat suara mahasiswa dan pergerakan mahasiswa yang lebih tertonjol menyokong pembangkang. Bagi saya, tafsiran ini dibuat salah. Buktinya pada era sebelum terciptanya AUKU, pergerakan mahasiswa pada ketika itu jelas ternyata seimbang malah menjadi kuasa ke 3 untuk negara bangsa mereka sendiri, buktinya kita boleh lihat Pimpinan Mahasiswa pada waktu ketika itu jika tidak silap saya, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya menjadi barisan hadapan dalam mempertahankan nama negara pada waktu ketika itu dengan mengutuk tindakan negara Indonesia yang ingin hancurkan Malaysia, siapa yang menunjukkan solidariti pada waktu ketika itu? Perkasa? Sudah tentu tidak, tetapi mahasiswalah yang menjadi benteng pada negara.

Jika kita lihat sekarang, kesan daripada AUKU, mahasiswa kian mendodol dan mendonut. Semangat dan Jiwa atau Aura mahasiswa kian luntur.Perlu diingatkan AUKU bukan hanya berfokuskan pada mahasiswa sahaja, namun pada pentadbiran Universiti.


PRESIDEN INDONESIA 2014 : PROBOWO VS JOKOWI


Penilaian ini berdasarkan pembacaan, pemerhatian penulisan dan luahan dari rakyat Indonesia dilaman sosial. Kedua-dua wira Indonesia ini mempunyai bakat dan kelebihan masing-masing. Pemilu 2014 akan dilaksanakan dua kali iaitu Pemilu Legislatif pada 9 April 2014 yang akan memilih para anggota dewan legislatif dan Pemilu Presiden pada 9 Julai 2014 yang akan memilih Presiden dan Wakil Presiden.

Pemilu 2014 akan memakai e-voting dengan harapan menerapkan sebuah sistem baru dalam pemilihan umum.Pemilu kali ini adalah yang ke-11 sejak Indonesia mencapai kemerdekaan dan adalah pilihan raya keempat selepas reformasi menyebabkan jatuhnya kepimpinan autokrasi Presiden Suharto pada 1998. Kira-kira 186 juta pemilih terlibat dalam Pemilu kali ini bagi memilih 560 anggota Dewan Perwakilan Rakyat dan lebih 18,000 anggota majlis tempatan. Mereka mengundi di 545,791 pusat mengundi di seluruh Indonesia.

Dari segi kempen, Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) Indonesia memberi tempoh 21 hari kepada semua calon dan parti menjalankan aktiviti masing-masing dan menjadi amalan demokrasi di Indonesia, menjelang tiga hari pemilihan, semua logistik dan kempen dihentikan.

Tempoh bertenang itu membolehkan rakyat membuat pertimbangan calon atau parti mana untuk diundi selepas mereka dihujani pelbagai janji, harapan dan permintaan daripada 15 parti politik nasional yang bertanding pada Pemilu 2014.
Pemilihan berjalan dalam suasana penuh keceriaan dan mereka seolah-olah berada dalam satu 'pesta'. Tiada aksi merayu dan memujuk pengundi dan tiada juga barung atau bangsal panas disediakan oleh parti-parti bertanding di luar tempat mengundi.
Pemilu Presiden pada 9 Julai 2014 yang akan memilih Presiden dan Wakil Presiden memperlihatkan pasangan Prabowo Subianto yang merupakan Ketua Dewan Pembina Partai Gerindra bersama gandingan beliau ialah Hatta Rajasa bertembung dengan pasangan Joko Widodo yang merupakan Gabernor DKI Jakarta bersama gandingan beliau ialah Jusuf Kalla.

Sebelum pembacaan awal dibuat mari kita kenali susuk tubuh Probowo dahulu. Secara tampaknya Probowo merupakan tokoh politik dan ketenteraan yang telah lama berkecimpung dalam bidang politik dan ketenteraan Indonesia, kenyataan ini disokong dengan bukti bahawa beliau pernah dicalonkan sebagai calon Presiden pada Pemilu Presiden tahun 2009 berpasangan dengan Megawati Soekarnoputri, namun terkandas. Bukan soal terkandas atau kalah, namun penyertaan beliau sebagai calon Pemilu Presiden lepas sedikit sebanyak meninggalkan nama beliau di serata pelosok Indonesia. Justeru itu sedikit sebanyak dapat membantu kempen beliau kali ini. Selain daripada itu, beliau juga merupakan Mantan Menteri Kewangan era Soekarno, Menteri Alumnus Akademi Militer Nasional menjelang tahun 1974, dan karier beliau semakin melonjak naik dengan anugerah Jeneral Termuda meraih 3 bintang pada usia 46 tahun.

Jika kita lihat susuk tubuh Jokowi pula, beliau terkenal dengan kempen yang menarik dan berjiwa muda sewaktu beliau bertanding sebagai gabenor Jakarta. Kempen beliau boleh ditonton di Youtube dengan menontonnya berkali-kali tanpa jemu. Perkara ini diakui oleh warga Jakarta malah ternyata terbukti dengan kemenangan beliau di Jakarta telah membuktikan gaya yang bersahaja dan kempen yang segar dan berkesan. Jokowi merupakan pemimpin Indonesia yang saya kenal selepas Sukarno. Malah saya sebagai warganegara Malaysia juga mengenali Jokowi dengan kempen yang bersederhana dan berjiwa muda beliau. Jokowi juga dikatakan berjiwa rakyat, dan sering turun kebawah bersama rakyat. Keadaan ini dapat dilihat dan dibuktikan dengan cara berkempen beliau mengenakan pakaian baju kemeja iaitu “baju kotak-kotak”. Kenyataan ini juga dapat dibuktikan dengan ucapan beliau baru-baru ini sempena Pemilu Presiden 2014 dengan masa 3 minit. Dengan 3 minit ini anda mampu melihat watak beliau sebenarnya.

Secara kasarnya sebanyak 15 partai yang telah mengambil bahagian bagi Pemilu Legisatif 2014 dengan hasil yang telah diumumkan oleh KPU iaitu Partai Nasdem 6.72 %, Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) 9.04%, Partai Keadilan Sejahtera (PKS) 6.79%, PDI Perjuangan (PDIP) 18.95%, Partai Golkar 14.75%, Partai Gerindra 11.81%, Partai Demokrat 10.19%, Partai Amanat Nasional (PAN) 7.59%, Partai Persatuan Pembangunan (PPP) 6.53%, Partai Hanura 5.26%, Partai Damai Aceh 0 %, Partai Nasional Aceh 0 %, Partai Aceh 0 %, Partai Bulan Bintang 1.46 dan PKP Indonesia (PKPI) 0.91%. Secara jelasnya disini 3 Partai yang teratas ialah PDI Perjuangan (PDIP) 18.95%, Partai Golkar 14.75%, Partai Gerindra 11.81% 

Menerusi anggaran dan kiraan atas kertas kita mampu lihat bahawa Jokowi bergandingan dengan Jusuf Kala, manakala Probowo bergandingan dengan Hatta Rajasa. Mengikut fakta keempat-empat wira ini mewakili partai yang berbeza. Jokowi mewakili PDI yang memperoleh 18.95 %, dengan pasangannya Jusuf Kala mewakili Partai Golkar yang memperoleh 14.75 %, manakala Probowo mewakili Partai Gerindra yang memperolehi 11.81 % dengan pasangannya Hatta mewakili Partai PAN yang memperoleh 7.59%. Sekirannya kita memberi pengamatan yang jelas disini, kita dapat andai bahawa setiap partai akan menyokong pemimpin mereka, dengan jelas disini kem Jokowi diwakili Partai PDI dan Partai Golkar, manakala kem Probowo diwakili Partai Gerindra dan Partai PAN.

Setelah pengundian di peringkat Pemilu Legislatif pada 9 April 2014, bacaan awal kita mampu andaikan bahawa kem Probowo ketinggalan sebanyak 57.56 % di belakang kem Jokowi dimana kem Jokowi memperolehi 33.7% manakala kem Probowo hanya memperolehi 19.4 %. Jumlah ini telah dihitung dengan menggabungkan jumlah pengundian mengikut Partai mereka. Jika dilihat dan dibaca secara angka kem Probowo perlu fokus kempen mereka kepada jumlah pengundi yang lebih besar dengan jumlahnya 80.6 %, manakala kem Jokowi perlu fokus kempen mereka kepada jumlah pengundi yang lebih jauh kecil dengan perbezaan 14.3 % daripada jumlah fokus undi kem Probowo dengan Jumlah 80.6 %. Keadaan ini menampakkan bahawa kem Probowo perlu berkerja keras berbanding kem Jokowi yang mendahului kem Probowo dengan perbezaan 57.56% jauh dihadapan daripada jumlah yang pengundian yang diperolehi. Tetapi jangan dilupakan Partai-Partai lain. Kerana Partai-Partai yang lain juga dianggap partai yang menentukan kemenangan mana-mana Kem. 

Dengan gaya penyampaian penulisan saya ini sudah menampakan bacaan awal berkenaan Pemilu Presiden 2014 Indonesia. Namun perlu diingat, masa yang berbaki sangat panjang, pelbagai pekara dan perubahan boleh berlaku.
Insyallah pandangan yang seterusnya akan dilaksanakan pada tarikh pemilihan Pemilu Presiden Indonesia 2014 iaitu 9 Julai 2014.

Fahmi Zainol 
Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya
Presiden Majlis Perwakilan Majlis Nasional